LIKE EXCHANGE

Free Facebook Likes

Friday, April 4, 2014

Filem Melayu pun hina Islam?

DUNIA filem antarabangsa sekali lagi gempar apabila sebuah filem baru, Noah diterbitkan pada tahun ini. Filem yang mula ditayangkan pada 28 Mac lalu ini dikatakan telah mencemarkan beberapa agama termasuk Islam.

Filem ini tentang sejarah kehidupan Nabi Nuh yang membina sebuah bahtera bagi menyelamatkan kaumnya daripada tragedi banjir besar yang melanda bumi.

Namun banyak pengkritik dari Hollywood menganggap filem tersebut tidak menghina Nabi Nuh. Alasannya tidak memilemkan keseluruhan kisah Nabi Nuh tetapi hanya mengadaptasi kisah sejarah tersebut.

Beberapa negara Islam antaranya Emiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar dan Bahrain telah mengharamkan filem itu dan terbaru, Indonesia turut mengikut jejak langkah tiga negara terbabit melarang tayangannya di negara tersebut.

Ini bukan pertama kali industri filem Barat sengaja melemparkan provokasi dan kontroversi melalui penghasilan beberapa filem yang menyentuh kesucian agama Islam.

Awal tahun lalu filem Son of The God turut memaparkan perkara yang sama. Beberapa tahun lalu pula filem Bruce Almighty juga memperlihatkan perkara yang sama. Filem lakonan Jim Carrey itu telah menerima kritikan hebat daripada masyarakat Kristian sendiri kerana mempersendakan kepercayaan mereka.

Barangkali kita boleh faham kenapa filem sedemikian dibuat kerana pembuatnya bukan Islam dan bukan diterbitkan oleh negara Islam.

Tetapi kita tidak faham apabila sebahagian besar filem yang dihasilkan di negara ini juga menghina Islam. Sebahgaian besar filem kita bukan sahaja tidak mengangkat cara hidup Islam malah menghina dengan mempromosi gaya hidup yang bertentangan dengan Islam.

Penghinaan yang dimaksudkan adalah dari segi pelanggaran norma-norma Islam pada paparannya. Yang peliknya filem begini dihasilkan oleh orang Melayu Islam.

Mereka mempromosi atau dengan lain perkataan mempersenda Islam dalam adegan, naratif dan kesimpulan filem tersebut.

Kalau pengarah Barat menghasilkan filem yang mencemarkan Islam, itu bukan suatu yang luar biasa. Tetapi bagaimana dengan pengarah Islam sendiri yang tidak menjunjung cara hidup Islam menerusi filem mereka?

Kebanyakan filem Melayu ketika ini dilihat begitu bebas melanggar etika dan cara hidup Islam. Mereka seolah-olah diberi kebebasan kononnya akhir cerita filem itu menyeru kepada kebaikan.

Tetapi sebelum bertemu dengan kebaikan, filem Melayu seolah-olah diwajarkan untuk memperendahkan lelaki dan wanita Islam yang menjadi pelakon. Mereka boleh melakonkan adegan rogol atau seks yang begitu terperinci sekali.

Kalau kita teliti secara mendalam, hampir keseluruhan filem Melayu memaparkan gaya hidup Barat, remaja berpeleseran dan terlibat dalam seks bebas. Semua ini dipaparkan tanpa rasa bersalah malah menyalahkan orang lain yang menganggap itu sebagai salah.

Kerana itu kita tidak terkejut apabila pengarah kita gemar memaparkan adegan dalam bilik tidur atau pusat hiburan yang liar.

Para pengarah kita dilihat tidak kisah memparkan babak di atas katil, berpelukan dan bermacam lagi aksi kononnya ingin menunjuk realiti babak terbabit.

Bukan itu sahaja, banyak juga babak serta aksi rogol yang dipaparkan secara sensual dengan gerak kamera menyorok aksi itu sejelas yang mungkin.

Padahal adegan rogol tidak perlu dipaparkan kerana banyak lagi teknik termasuk perlambangan boleh digunakan untuk memberitahu penonton tentang adegan itu.

Terbaru filem arahan Ismail Yaacob, Laga boleh dijadikan satu kajian kes. Babak intim pelakonnya Marsha dan Wan Hanafi Su disifatkan oleh pengarah sabagai babak bagi mendidik penonton. Tetapi cara adegan itu dihasilkan bercanggah dengan etika Islam dalam pergaulan lelaki dan wanita.

Ada juga penonton yang menganggap lakonan Marsha dalam babak tersebut adalah yang terbaik dan mengubah geografi filem Malaysia ke arah filem antarabangsa. Inilah kesan daripada pembudayaan pemikiran yang dilakukan oleh filem tempatan yang mempromosikan gaya hidup Barat.

Persoalannya, sekiranya babak tersebut tidak dilakukan, adakah filem ini akan cacat? Dan sekiranya babak tersebut sememangnya dibuang daripada skrip asal adakah jalan ceritanya mengenai tradisi pertaruhan laga ayam tidak sampai kepada penonton?

Jangan anggap kita sebagai orang filem boleh diberi kelonggaran untuk melakukan sesuatu yang melanggar larangan dalam agama.

Dalam filem Iran, perkara-perkara yang mencemarkan Islam tidak ada dalam filem mereka. Tidakkah pengarah-pengarah kita tidak berasa malu dengan Iran yang boleh menghasilkan filem bertaraf dunia tanpa “mempersendakan" agama?

Walaupun tidak ‘menjual’ susuk tubuh pelakon wanita, industri filem Iran diiktiraf di peringkat antarabangsa. Tetapi industri filem kita yang “menelanjangkan" banyak pelakon wanita dengan babak ranjang masih lagi berada di takuk lama malahan semakin merudum.

Sumber: Utusan


No comments:

Post a Comment

Hi.. Love